PERUTUSAN PRESIDEN PPSM

Alhamdulillah, selawat dan salam kepada Rasulullah S.A.W, para sahabat Baginda, tabi’ dan seterusnya tabi’ tabi’in yang sentiasa memegang panji kebesaran Illahi. Assalamu’alaikum warahmatullah dan salam sejahtera.
Menelusuri perjuangan PPSM yang melangkaui satu dekad penubuhannya dan melalui transformasi kepimpinan yang silih berganti, matlamat perjuangan serta intipati PPSM masih utuh walaupun halangan dan cabaran yang mendatang wujud dalam pelbagai bentuk dan rupa.
Bertepatan dengan wadah pembaharuan yang ingin dilaksanakan, maka ahli PPSM seluruh Malaysia dialu-alukan untuk bersama-sama berkongsi pandangan dan kepakaran yang kini berada dalam disiplin yang berbeda agar natijah bagi memartabatkan sistem kehakiman syariah dapat direalisasikan menerusi ruang maya ini. Diharapkan ia dapat diaplikasikan sebaik-baiknya sebagai platform untuk menyampaikan suara yang terbuku di hati dan berlegar di sanubari.
Semoga kemudahan laman sesawang (website) yang dibangunkan ini juga dapat mengeratkan silaturrahim, menghubungkan yang terputus dan menaut kembali gelora inspirasi di kalangan ahli agar kesatuan PPSM dapat dicapai. Sayugia diharapkan juga agar laman ini menjadi duta PPSM dalam usaha untuk menjalin kerjasama dengan agensi luar.
Akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tuan Abu Bakar Daud, Exco Kebajikan PPSM kerana komitmen dan dedikasi beliau dalam membangunkan laman ini. Semoga PPSM akan terus maju dan berdaya saing dalam memastikan kesinambungan kecemerlangan sistem Perundangan dan Kehakiman Syariah di Negara kita yang tercinta ini.
Salam Hormat,
DR.MOHD.NA’IM BIN MOKHTAR
Presiden
PPSM sesi 2010/2012